Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor akur pada saranan Tun Dr Mahathir Mohamad agar kemelut mengenai pengagihan kerusi di negeri itu diselesaikan melalui rundingan tertutup serta dalam keadaan muafakat, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tambahnya lagi, sebarang perkembangan mengenai isu itu tidak perlu dihebahkan melalui media kerana dikhuatiri kenyataan mereka akan diputar belit.

BACA: #MalaysiaMemilih: PKR Selangor sangsi keupayaan sekutu?

BACA: Perselisihan di Selangor akan selesai, kata Tun Dr Mahathir

Namun, Azmin, yang juga pengerusi PH Selangor dan Timbalan Presiden PKR, berharap agar semua parti yang terlibat dalam kemelut itu dapat menghantar wakil masing-masing untuk meneruskan rundingan pada mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Pengagihahan Kerusi, esok.

“Saya berharap semua parti dapat mencapai kata sepakat kerana kalau dapat capai dalam masa terdekat, itu pilihan terbaik.

“Namun mungkin ada beberapa kerusi yang perlu diteruskan rundingan, dan elok diberikan ruang itu, kerana kadang-kadang ia libatkan ‘swapping’, pertukaran kerusi, bukan saja dalam negeri berkenaan tapi antara negeri,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Konvensyen Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, hari ini.

Sewaktu berucap merasmikan konvensyen itu, Azmin berkata pengorbanan veteran tentera amat disanjung, kerana peranan mereka dalam memastikan negara ini selamat daripada ancaman anasir luar.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM30,000 untuk disalurkan kepada persatuan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai dakwaan peruntukan kerajaan negeri kepada wakil rakyat PAS dibekukan, beliau berkata ianya tidak benar, dan sekiranya mana-mana wakil rakyat tidak menerima peruntukan itu, mereka boleh berjumpa dengan pegawai daerah masing-masing atau terus kepadanya.

Mengenai kenyataan pemimpin DAP Selangor Ronnie Liu bahawa beliau tidak layak untuk mengepalai PH Selangor ekoran kemelut pengagihan kerusi itu, Azmin berkata, serangan seperti itu adalah lumrah dalam politik.

“Saya ni, siapa saja yang tak attack saya, tetapi saya sebagai pemimpin kena sabar dan tawaduk. Nasihat saya marilah kita duduk berbincang dan muafakat kerana muafakat itu yang akan menjamin kemenangan kita dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Liu sebelum ini dilaporkan mendakwa Azmin tidak bercakap benar kerana mendakwa Amanah negeri berbohong dalam isu pengagihan kerusi DUN di negeri itu.

“Bagi saya, kamu sudah gagal teruk. Kamu tidak layak jadi pengerusi negeri kami,” kata Liu melalui catatan di akaun Facebooknya baru-baru ini.