NILAI: Kerajaan memperuntukkan RM464,000 bagi menyediakan mesin 'retort' yang berfungsi mengelak pembaziran makanan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata kerajaan menyeru industri perhotelan, pengusaha katering dan peniaga makanan supaya dapat bersama-sama menghantar makanan ke lokasi terdapatnya kemudahan mesin berkenaan dalam mencapai sasaran sifar pembaziran.

Menurut Rosol, setakat ini mesin itu dipasang di Hotel Seri Malaysia di Perlis, Hotel Primula di Terengganu, Hotel Le Meridien di Putrajaya serta Al Huda Enterprise dan Food Aid Foundation di Kuala Lumpur.

"Kerajaan dalam perancangan memasang mesin ini di Politeknik Sultan Idris Shah Sungai Air Tawar di Selangor, Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan, Pahang dan Hotel Seri Malaysia di Alor Setar, Kedah.

"Saya dimaklumkan sekurang-kurangnya empat tan makanan dibazirkan sepanjang Ramadan tahun ini. Kementerian dalam perancangan meletakkan mesin ini di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita pada program Jualan Malaysia Rancak Aidilfitri di AEON Mall di sini pada Rabu.

Rosol berkata menerusi inisiatif ini, lebih 2,000 peket makanan dibungkus secara retort diagihkan antaranya kepada pelajar universiti yang terjejas ketika banjir tahun ini, selain itu makanan dibungkus menggunakan mesin itu dijamin bersih, mempunyai jangka hayat lebih panjang dan selamat untuk dimakan.

Beliau berkata mesin tersebut adalah inisiatif kementerian melalui Food Bank Malaysia bagi mencapai objektif sifar pembaziran makanan dan minuman yang masih baik dan belum disentuh bagi membantu golongan sasaran mendapatkan bekalan makanan terutama semasa bencana alam.

-- BERNAMA