KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Johor dan Pahang semakin baik apabila jumlah mangsa yang direkodkan menurun, manakala situasi di Sabah kekal menjadikan jumlah mangsa malam ini sebanyak 459 orang berbanding 568 orang petang tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kesemua mangsa yang direkodkan itu meliputi 274 orang daripada 83 keluarga yang berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah iaitu daerah Beluran (113 orang di tiga PPS) dan Sandakan (161 orang di sebuah PPS).

Di Pahang mencatatkan 103 mangsa daripada 34 keluarga di sebuah PPS di Rompin, manakala di Johor membabitkan 82 orang daripada 22 keluarga yang berlindung di empat PPS iaitu di Segamat ( 63 orang di dua PPS ), Batu Pahat (15 orang di sebuah PPS) dan Kota Tinggi (43 orang di sebuah PPS)

Berhubung insiden kebakaran di Sarawak dan Sabah, jumlah mangsa yang masih berlindung di sebuah PPS di Kuching kekal 38 orang daripada 12 keluarga, manakala situasi di Sabah pulih berikutan tiada lagi mangsa direkodkan berlindung di PPS setakat 8 malam ini.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di Johor, Pahang dan Perlis berada pada paras bahaya malam ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang, Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat, manakala di Pahang pula membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin, selain Sungai Arau di Perlis.

NADMA turut memaklumkan terdapat 43 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kota Tinggi, Johor dan di Pahang membabitkan Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak).

-- BERNAMA