KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang mencatatkan sedikit peningkatan tengah hari ini manakala di Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan menurun dan tiga negeri lagi tidak berubah.

Selain itu, laman web rasmi Public Infobanjir melaporkan 10 sungai di negeri terjejas banjir masih melepasi paras bahaya melibatkan dua sungai di Pahang, satu di Selangor, empat di Johor, satu di Negeri Sembilan dan dua di Melaka.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 5,598 mangsa setakat 12 tengah hari ini berbanding 5,479 pagi tadi, dengan Segamat terus mencatat mangsa tertinggi seramai 4,103 orang diikuti Mersing (541), Tangkak (467), Kota Tinggi (210), Kluang (112), Batu Pahat (107) dan Muar (58).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyataan berkata setakat ini, 79 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah terkesan banjir yang menempatkan 1,516 keluarga.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa lokasi banjir di daerah Mersing dan Muar, mendapati air mulai surut namun penduduk yang ditempatkan di PPS belum dibenarkan pulang sebagai langkah berjaga-jaga.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan 2,816 mangsa banjir masih berada di 48 PPS di sembilan daerah, berbanding 2,564 orang pagi tadi dengan Kuantan merekodkan jumlah teramai iaitu 843 mangsa seterusnya Temerloh (691) dan Rompin (443) selain daerah lain turut terjejas ialah Lipis, Raub, Bera, Jerantut, Maran dan Pekan.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir di 22 PPS sedikit menurun kepada 2,529 tengah hari ini berbanding 2,674 pagi tadi, melibatkan 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 11 kawasan di Jasin.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 1,706 individu di 18 PPS setakat tengah hari ini berbanding 1,795 individu di 21 PPS pagi tadi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir kekal 19 orang di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga, Kemaman tengah hari ini, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir di dua PPS di daerah Kuala Langat kekal 40 individu sejak dibuka pada Ahad lepas iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa), menurut aplikasi Info Bencana JKM.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter rasminya berkata berdasarkan kemas kini hingga semalam (3 Jan), sebanyak 40,959.01 tan sampah telah dibersihkan melibatkan lapan pihak berkuasa tempatan.

Di SABAH, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa di 30 PPS tidak banyak berubah dengan merekodkan 3,318 individu tengah hari ini berbanding 3,310 pagi tadi, dengan daerah Kota Marudu kekal merekodkan mangsa paling ramai iaitu 2,653 individu manakala Pitas (307), Telupid (172), Sandakan (46), Beluran (41) dan daerah kecil Paitan (99).

Sementara itu, di daerah Pitas, Jalan Nibang dilaporkan terputus hubungan, manakala Jalan Atoi dan Jalan Kemiri didapati rosak untuk dilalui, selain tanah runtuh dikesan di Kampung Saniton Laut namun tidak melibatkan sebarang kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA