KUBANG PASU: Keadaan hujan lebat yang turun pada lewat petang mengakibatkan jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu kembali bertambah.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, seramai 58 orang mangsa daripada 12 keluarga kembali semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 28 mangsa daripada enam keluarga pada jam 8 malam tadi.

Beliau berkata, kesemua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dan Dewan Kampung Lahar.

"Setakat ini, mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Kampung Lahar seramai 22 mangsa daripada empat keluarga.

"Manakala PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang pula menempatkan seramai 36 mangsa daripada lapan keluarga," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.