KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Pahang menunjukkan penurunan, manakala Johor tidak berubah dengan jumlah keseluruhan 278 mangsa masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri berkenaan, petang ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mangsa termasuk 99 orang daripada 42 keluarga yang berlindung di dua PPS di daerah Beluran, Sabah.

Di Pahang pula, seramai 101 orang daripada 34 keluarga masih tempatkan di sebuah PPS di Rompin, manakala di Johor, seramai 78 orang daripada 20 keluarga berada di tiga PPS iaitu di Segamat (63 orang) dan Batu Pahat (15 orang)

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di Johor, Pahang dan Perlis berada pada paras bahaya petang ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang, Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat manakala di Pahang pula membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin, selain Sungai Arau, di Perlis.

Selain itu, terdapat 43 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Johor Bahru-Endau di Kota Tinggi, Johor dan di Pahang membabitkan Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak).

NADMA turut memaklumkan jumlah mangsa masih berlindung di sebuah PPS di Kuching, Sarawak kekal 38 orang daripada 12 keluarga susulan insiden kebakaran.

-- BERNAMA