KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Terengganu tidak berubah dengan mangsa kekal 63 orang daripada 17 keluarga setakat 6 pagi ini.

Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas di negeri berkenaan.

NADMA dalam laporannya memaklumkan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di enam negeri berada pada paras bahaya iaitu Sungai Muda di Sik dan Sungai Kedah di Kota Setar, Kedah; Sungai Sarang Buaya di Muar dan Sungai Johor di Kulai, Johor; Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Terengganu (Hulu Terengganu) dan Sungai Rompin (Pahang).

Sebanyak 16 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan cerun runtuh antaranya Jalan Boh di Cameron Highlands, Pahang, Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan dan Jalan Bukit Jugra di Hulu Langat, Selangor.
 
-- BERNAMA