KUALA LUMPUR: Bilangan mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang menurun kepada 1,604 orang di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini berbanding 2,626 mangsa di 31 PPS tengah hari tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 1,067 di 13 PPS dengan 603 mangsa di tujuh PPS di Setiu, 183 mangsa di tiga PPS di Hulu Terengganu, 268 mangsa di dua PPS di Dungun dan satu PPS di Besut menempatkan 13 mangsa.

Di Kelantan, sebuah PPS dibuka di Kuala Krai menempatkan 27 mangsa dan di Pasir Puteh kekal 350 orang di dua PPS, manakala di Pahang, 160 mangsa berlindung di satu PPS di Kuantan.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Terengganu, Kedah, Pahang, Johor, Perlis dan Sabah.

Di Terengganu, sungai terlibat ialah Sungai Dungun, Sungai Terengganu dan Sungai Besut manakala di Kedah di Sungai Muda, Sik dan Sungai Kedah di Kota Setar serta Perlis di Sungai Arau.

Di Pahang, Sungai Pahang di Bera, Sungai Rompin dan Sungai Kuantan, manakala di Johor di Sungai Sarang Buaya di Muar dan Sungai Johor di Kota Tinggi serta di Sabah di Sungai Kinabatangan.

NADMA turut memaklumkan 19 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh, antaranya di Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang; Jalan Jamaluang-Batu Pahat di Mersing, Johor dan Trolak Selatan di Batang Padang, Perak.

-- BERNAMA