KUANTAN: Empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini bagi menempatkan mangsa banjir di sekitar Kuantan setakat pukul 8 pagi ini.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, PPS yang dibuka sejak jam 1 pagi itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah, SK Sungai Karang, SK Sungai Ular dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung.

Kesemuanya, 554 mangsa daripada 119 keluarga ditempatkan di empat PPS itu, susulan hujan lebat tanpa henti yang menyebabkan banjir kilat di kawasan terbabit.

PPS Dewan Kampung Pia di Raub masih menempatkan 40 mangsa banjir daripada 13 keluarga sejak dibuka pada Ahad lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di lima PPS di kedua-dua daerah itu seramai 594 orang daripada 132 keluarga.

LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI

Sementara itu, paras air beberapa sungai utama juga menunjukkan trend menaik sementara paras air di tiga sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Jelai, Sungai Tembeling dan Sungai Belat.

Paras air di skala bahaya ialah Sungai Keratong di Rompin, yang kini mencecah bacaan 11.76 meter (m).

Manakala Sungai Lipis di Batu Malim (114.59m) dan Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub (134.62m) berada pada paras amaran.