Skip to main content

Malaysia

Mangsa bencana layak tuntut BWI empat kali setahun dengan NADMA

61766483236_tbPPSKUANTAN.jpg
Sebanyak 108,000 KIR di seluruh negara telah menerima BWI berjumlah RM108 juta bagi musim monsun 2025/2026. - Gambar hiasan
Advertisement

JERTIH: Rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana layak menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) hingga empat kali setahun, tertakluk kepada syarat tuntutan yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). 

Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial (SPKS) NADMA Jefny Muhammad berkata bantuan itu disediakan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran, ombak besar dan sebagainya. 

Beliau berkata setiap ketua isi rumah (KIR) yang layak akan menerima bantuan RM1,000 bagi setiap tuntutan, sekali gus membolehkan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM4,000 setahun sekiranya mangsa terlibat dalam bencana sebanyak empat kali

"Bagaimanapun, tuntutan hanya dibenarkan sekali dalam tempoh setiap tiga bulan. Jika seseorang mangsa mengalami bencana sebanyak dua kali dalam tempoh tiga bulan, hanya satu tuntutan BWI boleh dibuat.

"Tetapi sekiranya mangsa sekali lagi ditimpa bencana selepas tempoh tiga bulan itu, mereka layak mengemukakan permohonan baharu," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Penutup Program  Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) kelolaan Yayasan Ikhlas di Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Daerah Besut di Kampung Raja di sini.

Dalam pada itu, Jefny berkata sebanyak 108,000 KIR di seluruh negara telah menerima BWI berjumlah RM108 juta bagi musim monsun 2025/2026. 

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding musim sebelumnya sebanyak 287,000 KIR menerima BWI membabitkan peruntukan RM287 juta. 

"Pengurangan jumlah penerima dan nilai bantuan kerana musim ini negara kita tidak berdepan dengan banyak kejadian bencana besar berbanding musim sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata mangsa bencana kini boleh mendapatkan BWI dengan lebih mudah menerusi kaedah pendaftaran digital dan pengesahan komuniti yang diperkenalkan NADMA, sekali gus mempercepatkan proses pengesahan serta penyaluran bantuan kepada mereka yang terjejas.

“Pendaftaran mangsa kini dilaksanakan menerusi sistem myIBJKM, dengan mangsa hanya perlu membuat pendaftaran atau mengemas kini maklumat melalui kod QR yang disediakan di setiap pusat pemindahan sementara (PPS). 

"Maklumat yang didaftarkan akan disemak dan disahkan oleh pihak berkaitan termasuk melalui pengesahan komuniti sebelum diproses bagi menentukan kelayakan penerima dan bantuan disalurkan terus ke akaun penerima melalui Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya. 

Dalam perkembangan lain, NADMA turut menggalakkan lebih banyak kolaborasi strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan agensi itu dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti menghadapi bencana menerusi pelaksanaan kursus Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM). 

Jefny  berkata CBDRM memberi penekanan kepada penglibatan aktif komuniti dalam mengenal pasti risiko bencana, merancang langkah mitigasi, meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta melaksanakan tindakan awal sebelum, semasa dan selepas bencana. 

“Kerjasama dengan NGO membolehkan latihan dan pemindahan ilmu berkaitan pengurusan bencana diperluaskan kepada lebih ramai penduduk di peringkat akar umbi, sekali gus melahirkan komuniti yang lebih berdaya tahan dan mampu bertindak secara tersusun ketika berdepan situasi kecemasan. 

"NGO merupakan rakan strategik NADMA kerana mempunyai rangkaian yang luas di peringkat komuniti. Melalui kursus CBDRM, masyarakat bukan sahaja didedahkan kepada aspek keselamatan dan pengurusan bencana, malah diberi latihan praktikal bagi meningkatkan keupayaan mereka membantu diri sendiri dan komuniti ketika bencana berlaku," katanya. 

-- BERNAMA  

 

 

Must Watch Video

Advertisement