SEREMBAN: Seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa culik di kawasan Broga, Hulu Langat, Selangor ditemukan maut dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, pihaknya menerima laporan berhubung kes penculikan tersebut pada Isnin lalu.

"Sebelum insiden itu, pada hari Ahad, jam 6.30 petang pengadu memaklumkan menerima mesej di aplikasi WhatsApp yang meminta sejumlah wang tebusan.

"Bertindak daripada laporan berkenaan, pihak polis menjalankan operasi khas bagi mengesan dan mencari mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, Balai Polis Batu 14, Hulu Langat telah menerima panggilan telefon orang awam yang memaklumkan berhubung penemuan mayat mangsa di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan dan mayat berkenaan disahkan merupakan mangsa di dalam kes yang sedang disiasat.

"Ia berdasarkan kepada kad pengenalan dan dokumen-dokumen yang ditemui bersama mangsa serta pengecaman oleh ahli keluarga," tambahnya. 

Penemuan mayat itu juga sekali gus menyelesaikan kes berkenaan yang turut membawa kepada tangkapan seorang suspek lelaki berusia 20-an di sekitar Ampang.

"Hasil ujian air kencing terhadap suspek yang merupakan pekerja swasta itu adalah negatif.

"Suspek seterusnya direman selama 15 hari bermula 28 September hingga 12 Oktober depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961," ujarnya.