Skip to main content

Malaysia

Mangsa culik i-City ada kaitan dengan dalang makmal dadah RM2.4 bilion

KUALA SELANGOR, 9 Sept - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan (kanan) menunjukkan fotofit suspek yang ditahan pada sidang media mengenai kejayaan JSJN dalam membongkar makmal haram memproses dadah dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa bernilai RM 2.41 billion di Jalan Eko Perindustrian, Puncak Alam hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hussein ketika sidang media mengenai kejayaan JSJN dalam membongkar makmal haram memproses dadah dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa bernilai RM2.41 billion di Puncak Alam pada Rabu. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA SELANGOR: Individu berusia 44 tahun yang diselamatkan polis selepas diculik dengan tuntutan wang tebusan RM7 juta sebelum ini dipercayai mempunyai kaitan dengan dalang utama sindiket makmal dadah bernilai RM2.4 bilion yang diserbu di Puncak Alam pada 15 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan turut mempunyai hubungan dengan individu yang ditembak mati dalam operasi polis di Seremban baru-baru ini.

"Kita telah mengenal pasti lelaki ini mempunyai kaitan dengan individu yang ditembak mati di Seremban dan sindiket yang ditumpaskan susulan serbuan ke atas makmal dadah di Eco Business Park V bulan lalu," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Dalam kejadian berkenaan, polis menyelamatkan lelaki terbabit dari sebuah unit kediaman di i-City, Shah Alam kira-kira jam 1 pagi Sabtu, kurang 48 jam selepas isterinya membuat laporan bahawa mangsa diculik dan suspek menuntut wang tebusan RM7 juta untuk membebaskannya.

Seramai lapan individu terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes penculikan berkenaan selain pelbagai jenis dadah, telefon bimbit serta kenderaan dalam operasi berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan JSJ dengan bantuan JSJN menemukan elemen yang menunjukkan kes penculikan itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah.

Lelaki berusia 44 tahun itu kemudian ditahan JSJN mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Kumar sebelum ini turut memaklumkan beberapa individu yang ditahan termasuk mangsa didapati positif dadah, manakala semakan latar belakang mendapati sebahagian daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah kekerasan.

Dalam pada itu, Hussein berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti peranan sebenar lelaki berusia 44 tahun itu, termasuk sama ada suspek terbabit dalam sindiket berkenaan serta kaitan antara kes penculikan tersebut dengan operasi makmal dadah terbabit. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement