KAMPAR: Kanak-kanak yang parah dalam kemalangan di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat Kampar, hari ini, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7 tahun, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi.

Terdahulu, media melaporkan empat beranak maut manakala seorang lagi parah, apabila kereta yang mereka naiki dipercayai melanggar belakang sebuah lori tanah sebelum terbakar di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, awal pagi ini.

Mangsa yang maut ialah Azriyani Abdul Latif, 45, dan tiga anaknya, Muhammad Azib, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Al Qorni, 5 tahun.

Muhammad Fawwaz, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Tapah.

Mohamad Nazri dalam kenyataan sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri. 

Katanya, bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.