Skip to main content

Malaysia

Mangsa kes penceramah bebas diminta tampil buat laporan - Fadhlina

Fadhlina semasa menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan Projek Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, hari ini. - Foto Bernama
Fadhlina semasa menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan Projek Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

ALOR GAJAH: Kementerian Pendidikan meminta mangsa yang dikaitkan dengan kes seorang penceramah yang disiasat berhubung perlakuan tidak wajar supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Menteri berkenaan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata laporan daripada mangsa amat penting bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan selain membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan berdasarkan proses yang sedang dilaksanakan.

“Hal ini sangat penting. Sebab kalau kita tak ada laporan daripada pihak berkuasa dan juga dari segi tindakan-tindakan itu, akan menyukarkan kita dan kita tidak mahu perkara ini terus berlangsung dalam suasana di sekolah.

“Kita mahu sekolah betul-betul selamat dalam aspek itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, di sini hari ini. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata KPM memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan kanak-kanak di sekolah.

“Saya sudah sebut bahawa semua program yang melibatkan penceramah itu dihentikan serta-merta untuk memberikan laluan kepada siasatan yang sedang kita laksanakan.

“Jadi, kita pandang serius, dan kita minta anak-anak ataupun mangsa yang terlibat untuk tampil ke pihak berkuasa dan membuat laporan, manakala semua pihak sekolah termasuk pentadbir mengambil perkara berkenaan secara serius bagi memastikan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. 

Semalam, Fadhlina mengarahkan semua program di sekolah yang melibatkan seorang penceramah bebas yang didakwa berkelakuan tidak wajar, diarah dihentikan serta-merta bagi memberikan ruang kepada siasatan penuh. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement