GERIK: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang parah selepas terbabit dalam nahas yang mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 51.3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik- Jeli, di sini pada Ahad disahkan meninggal dunia.

Mangsa dikenali sebagai Aminuddin Othman, 54, merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mahmud Paduka Raja (1), Tanah Merah, Kelantan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11 malam.

Kematian mangsa itu menjadikan korban nahas seramai tiga orang setakat ini manakala tujuh lagi masih menerima rawatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping.

Media melaporkan perjalanan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri bertukar tragedi apabila sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki bersama dua anak mereka terbabit kemalangan membabitkan dua kenderaan pada Ahad.

Nahas sekitar jam 12.20 tengah hari itu berlaku ketika Proton Persona dinaiki keempat-empat mangsa melanggar MPV yang dipandu Aminuddin bersama lima ahli keluarga.

Pesara tentera, Kamizan Kasimon, 42, dan isterinya, Noor Asmah Mat Zainal, 38, disahkan maut di tempat kejadian manakala anak lelaki mangsa berusia 10 tahun dan anak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan di bahagian badan. - Sinar Harian