Sebahagian mangsa yang terselamat dalam tragedi kren jatuh di Masjid al-Haram, pada Jumaat lalu, ada yang masih lagi trauma serta terkejut dengan kejadian berkenaan.

Namun, mereka bersyukur kerana terselamat walaupun mengalami kecederaan.

Sebahagian besar daripada mangsa yang cedera dalam kejadian berkenaan, ditempatkan di Pusat Perubatan Pakar Al Noor, Mekah.

Menurut seorang jemaah haji dari Mesir, Ayman Sha'ban, ketika beliau berjalan di kawasan saei berkenaan, berlaku satu letupan yang kuat.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku, namun, secara tiba-tiba saya terhumban sejauh 20 meter dan ketika itu, saya melihat banyak mayat bergelimpangan," katanya ketika di sini.

Beliau berharap, pihak berkuasa Arab Saudi akan menyiasat punca kejadian itu.

"Jika kejadian itu berpunca daripada kecuaian, pihak yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan.

"Saya tidak boleh bercakap mengenai isu teknikal kerana hanya pakar yang mengetahuinya tetapi secara logiknya, sukar bagi sebuah kren untuk tumbang begitu sahaja walaupun disebabkan angin yang kuat. Mesti ada sesuatu yang tidak kena," ujarnya lagi.


Sementara itu, menurut seorang saksi kejadian dari Mesir, Hasnaa Karam, ketika kejadian itu, beliau sedang berjalan di kawasan saie bersama suaminya.

"Saya hanya empat meter sahaja daripada suami saya ketika kejadian itu berlaku dalam hujan lebat. Suami saya cedera dan tidak boleh bergerak, saya dan beberapa orang lain berada sangat hampir dengannya," katanya di sini.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Perubatan Pakar Al Noor, Dr Salem Baguifer, kesemua pesakit yang dirawatnya sangat trauma dengan kejadian yang tidak diduga itu.

"Mereka mengalami trauma yang sangat teruk. Mereka datang ke Masjid al-Haram untuk beribadat, namun kejadian itu berlaku, sudah pasti mereka trauma, semua orang trauma. Semua keluarga mangsa bimbang mengenai keadaan saudara mara masing-masing," katanya di sini.

Sementara itu, Imam Masjid al-Haram, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais antara orang kenamaan yang melawat mangsa yang tercedera di Pusat Perubatan Pakar Al Noor.

Dalam lawatan itu, Sheikh Abdul Rahman memberi jaminan, pihak berkuasa Arab Saudi akan membantu dan memastikan semua yang tercedera itu dapat menunaikan ibadah haji yang akan bermula tidak lama lagi dengan sempurna.

"Semua pihak perlu reda dengan takdir dan ketentuan Allah. Kita percaya kepada takdir dan nasib. Ribut kuat dan hujan lebat punca kejadian itu," katanya di sini.

Tragedi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 107 termasuk empat jemaah dari Malaysia selain turut mencederakan ratusan yang lain.