Polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa kepada penyelewengan wang dan pemalsuan dokumen menggunakan nama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya tampil membuat laporan.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata pihak polis memandang serius perkara ini dan mahu tindakan tegas diambil.

"Laporan polis diperlukan supaya siasatan dapat dimulakan. Pihak polis merayu kepada mangsa-mangsa atau orang yang terkilan untuk tampil membuat laporan polis.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes yang mempunyai unsur penipuan. Bagi kes-kes pemalsuan dokumen pula pelaku boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dihukum penjara, sebatan atau denda," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Ahad lepas (29 Jan), Zambry berkata kerajaan Negeri Perak tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan pihak yang menyelewengkan wang atau memalsukan dokumen bagi kepentingan sendiri.

Menurut Zambry, terdapat pihak yang berani menggunakan namanya dan meminta wang pendahuluan melibatkan ratusan ribu ringgit bagi kelulusan projek serta ada yang berani memalsukan dokumen.

Bagaimanapun, menurut Hasnan, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi atau laporan polis daripada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, polis meminta supaya pihak yang terlibat dapat tampil ke hadapan atau membuat laporan polis di mana-mana balai polis berdekatan bagi memulakan siasatan.

-- BERNAMA