IPOH: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kecemasan RM300 petang ini, kepada setiap keluarga yang terjejas akibat bencana ribut di beberapa kawasan di bandaraya ini semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti kontraktor yang berkelayakan untuk membaik pulih rumah penduduk terjejas.

"Saya hadir untuk melihat sendiri bagaimana kerosakan yang diakibatkan oleh ribut yang melanda semalam.

"Jumlah keseluruhan setakat ini ialah 219 buah rumah yang terlibat secara langsung dalam bencana ribut semalam. Ada rumah yang rosak sedikit tapi ada yang rosak teruk.

"Wang ihsan RM300 ini akan dibayar petang ini juga oleh Pejabat Daerah kepada setiap rumah yang terlibat (219 buah rumah)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang terjejas ribut di Kampung Desa Sri Chepor, Klebang di sini, pada Isnin.

BACA: Persiapan Tahun Baharu Cina musnah, ratusan rumah rosak akibat puting beliung di Ipoh

Saarani berkata, pihaknya juga sedang mengatur penyelesaian untuk menyegerakan baik pulih rumah penduduk yang terjejas.

"Kita kena selesaikan dengan segera bumbung mereka yang tercabut atau bilangan zink yang diterbangkan angin.

"Dibimbangi jika ada air hujan, ia akan memberikan kerosakan lebih teruk di rumah tersebut.

"Oleh kerana kita ada kekangan sedikit, esok dan lusa cuti Tahun Baru Cina jadi kedai 'hardware' ditutup. Jadi kita sudah bersetuju dengan Pegawai Daerah supaya disegerakan
mengenal pasti kontraktor dan dilantik untuk membaiki beberapa rumah yang dipilih," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan melalui NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) juga akan memberi bantuan ihsan sebanyak RM1,000 kepada mangsa terbabit.

Kejadian ribut petang semalam membabitkan kira-kira 219 rumah kediaman dengan empat lokasi berbeza sekitar Ipoh iaitu Kampung Tawas / Taman Tasek Damai, Desa Sri Chepor, Klebang, dan Taman Desa Impian.