KOTA BHARU: Mangsa maut ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah bengkel di Jalan Hutan Kuin, Machang petang Ahad disahkan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa berusia 38 tahun itu merupakan seorang peniaga.

Menurut beliau, siasatan awal di lokasi mendapati suspek merupakan dua lelaki menaiki sebuah kereta Honda putih sebelum melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah mangsa yang ketika itu berada dalam pikap.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan motif masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Muhamad Zaki memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil membantu untuk siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemilik bengkel maut dipercayai ditembak dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang di Kampung Hutan Kuin di sini, pada Ahad.

Mangsa ditemukan berlumuran darah dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah kedai alat ganti kenderaan di kampung berkenaan. - Sinar Harian