KOTA KINABALU: Jumlah mangsa terkesan banjir di Sabah kekal di atas paras 3,000 mangsa setakat tengah hari ini.

Menurut laporan kemas kini yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah mangsa terjejas banjir adalah 3,747 orang membabitkan 1,353 ketua isi rumah (KIR).

Daerah yang dilaporkan masih terjejas ialah Kota Marudu, daerah kecil Paitan, Pitas, Sandakan dan Telupid.

Setakat pukul 12 tengah hari, Kota Marudu terus mencatat jumlah tertinggi dengan 3,136 mangsa, diikuti Pitas (330 mangsa), Telupid (183 mangsa), Paitan (54 mangsa) dan Sandakan (45 mangsa).

Kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah diaktifkan di daerah-daerah berkenaan.

Sebanyak 14 PPS telah dibuka di Kota Marudu, enam PPS di Telupid, empat PPS di Pitas, dua PPS di daerah kecil Paitan dan satu PPS di Sandakan.

Sementara itu, laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menunjukan pecahan mangsa yang terlibat adalah 1,071 lelaki, 1,171 wanita, 779 kanak-kanak lelaki serta 726 kanak-kanak perempuan.