SHAH ALAM: Tourism Malaysia mengumumkan pelantikan bekas Pengarah Tourism Malaysia India, Manoharan Periasamy sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia baharu.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika) di Tourism Malaysia.

Manoharan juga difahamkan telah berkhidmat selama tiga penggal berturut-turut sebagai Pengarah Tourism Malaysia untuk India, dan memainkan peranan penting dalam menubuhkan pejabat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan pertama di Mumbai pada tahun 2001.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kenyataan bekas Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar yang meluahkan rasa kecewa apabila perkhidmatannya selama 36 tahun dalam industri pelancongan ditamatkan.

Menurut Ammar, sebagai kakitangan kerajaan yang telah lama berkhidmat, beliau sentiasa melakukan tugas mengikut prosedur dan tatacara betul.

Pada Sabtu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan sebab Ammar diturunkan pangkat daripada jawatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, kerana gagal mencapai prestasi kerja yang ditetapkan.

Ujar King Sing, banyak peluang telah diberikan kepada Ammar memandangkan beliau mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelancongan. - Sinar Harian