Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama 11 lagi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam menyelar tindakan kejam rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.

Gabungan itu turut menggariskan 18 agenda bertindak yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Presiden Mapim, Mohamad Azmi Abdul Hamid berkata, antara agenda bertindak itu termasuk merancang untuk menganjurkan perhimpunan bantahan rakyat selain menggesa Parlimen Malaysia mengadakan persidangan khas bagi mengecam tindakan Israel itu.

“Kami telah menyenaraikan 18 agenda bertindak yang kita akan lancarkan.

“Yang besar sekali ialah kita akan adakan Perhimpunan Bantahan Rakyat Malaysia dalam masa yang terdekat yang kita akan tentukan tempatnya nanti.

“Dan kita akan isytiharkan di sana sewaktu pengisytiharan apa yang dipanggil ‘World Intifadhah In Gaza’ iaitu ‘Intifadhah Dunia Untuk Gaza’ yang akan diisytiharkan dalam perhimpunan itu,” katanya.

Turut menjadi agenda ialah penubuhan Tabung Bantuan Gaza, solat hajat serentak seluruh negara dan khutbah khas solat Jumaat.

Pada masa sama, atas dasar keprihatinan saudara seagama, Mapim juga akan menghantar satu misi khas bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza minggu hadapan.

“Kita juga telah memutuskan akan menghantar misi ke Gaza dalam masa terdekat.

“Mungkin pada hari Isnin atau Selasa akan datang kita akan bergerak ke Gaza untuk masuk, cuba melihat apa yang boleh kita tolong dari dalam,” jelasnya lagi.

Mohamad Azmi menyatakan pendirian Gabungan NGO Islam tempatan selepas mempengerusikan perjumpaan tergempar di Ibu Pejabat Mapim pada Sabtu.