JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas kira-kira 18 tan beras dari Singapura kerana tidak mempunyai sebarang dokumen untuk mengimport dagangan tersebut.

MAQIS memaklumkan produk yang dianggarkan bernilai RM100,000 itu ditemukan di dalam sebuah lori yang membawa 20 bag jumbo mengandungi beras di laluan import kargo, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, 3 petang, Khamis lepas.

"Hasil pemeriksaan lanjut oleh Pegawai Penguasa MAQIS mendapati barangan ini cuba dibawa masuk dengan pengikraran menggunakan maklumat item lain bagi cubaan mengelirukan pegawai penguat kuasa di pintu masuk.

"Pemandu lori yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30-an telah diambil keterangan bagi membantu siasatan dan kes ini diserahkan kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Negeri Johor bagi siasatan lanjut," menurut MAQIS dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MAQIS pemeriksaan yang dilakukan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu susulan mendapat makluman daripada orang awam.

Pihak MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian ke negara ini dan sentiasa mempertingkatkan kerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa kerajaan bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti negara.

-- BERNAMA