Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah melonggarkan syarat minimum kemasukan Tingkatan Satu ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan mengutamakan pelajar cemerlang miskin bandar dan luar bandar serta pribumi Sabah dan Sarawak bagi kemasukan tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran itu melibatkan syarat minimum keputusan 3A 3B bagi calon Semenanjung Malaysia dan minimum 3A 2B dan 1C bagi calon Sabah dan Sarawak.

"Pengubahsuaian syarat ini dibuat berikutan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini yang kita tahu keputusan semua A agak kurang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Inovasi KKLW di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, di sini hari ini.

Syarat minimum kemasukan pelajar Tingkatan Satu ke MRSM sebelum ini ialah 5A bagi Semenajung Malaysia dan 4A bagi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Mara juga akan membuka laluan khas kepada pelajar cemerlang daripada kategori miskin tegar serta anak yatim bagi memastikan golongan itu mendapat peluang pendidikan yang lebih baik.

"Keutamaan yang diberikan ini kerana kita tahu waktu dan keadaan untuk belajar bagi golongan ini lebih sukar. Kalau mereka tinggal di MRSM dengan asrama dan suasana berbeza, makanan cukup akan beri motivasi mereka belajar lebih baik," katanya.

Ismail Sabri berkata Mara telah menyediakan 7,000 tempat untuk kemasukan pelajar MRSM bagi 2017 yang mula dibuka semalam dan turut memerlukan calon menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan Ke MRSM (UKKM) Tingkatan Satu.

Dalam pada itu, Ismail berkata pihaknya sedang mengkaji untuk menubuhkan MRSM swasta bagi memenuhi permintaan pelajar daripada keluarga yang berpendapatan tinggi untuk mendapat pendidikan di institusi itu.

"Kita masih mengkaji di peringkat kementerian berapa jumlah pelajar, dan sama ada sukatan pelajarannya akan seperti yang terdapat di sekolah antarabangsa atau bagaimana," katanya. -BERNAMA