NATIONAL
MARA perkasa bumiputera melalui strategi 3P

Zulfikri menyeru warga kerja MARA agar terus menghayati nilai integriti dan kesungguhan dalam bekerja bagi merealisasikan matlamat pemerkasaan Bumiputera melalui strategi 3P. - Foto MARA
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan sosioekonomi Bumiputera melalui strategi 3P iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan.
Langkah ini dilihat sebagai pendekatan berimpak tinggi ke arah meningkatkan keupayaan golongan itu dalam pelbagai sektor.
Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman berkata, pelaksanaan strategi 3P bukan sekadar agenda dasar, tetapi perlu dibuktikan menerusi peningkatan sumbangan Bumiputera dalam sektor ekonomi negara.
“Kita mahu memastikan Bumiputera bukan sahaja terlibat dalam industri, tetapi juga memiliki kepakaran yang tinggi untuk memacu produktiviti ekonomi negara. “Semakin ramai tenaga mahir dan profesional Bumiputera yang dilahirkan, semakin besar impaknya terhadap penguasaan ekonomi yang berpotensi dipelopori oleh anak Bumiputera,” katanya dalam program Naratif Eksklusif Ketua Pengarah MARA di Ibu Pejabat MARA, di sini, hari ini.
Beliau berkata, MARA komited dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang lebih holistik, termasuk menyediakan laluan kerjaya yang jelas sejak di peringkat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Dari peringkat MRSM, pelajar sudah didedahkan dengan laluan ke bidang profesional dan TVET.
“Graduan yang dilahirkan bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri, malah turut diberikan peluang untuk menceburi bidang perniagaan melalui inisiatif keusahawanan MARA,” katanya.
Menurut Zulfikri, pendekatan ini memastikan tenaga kerja Bumiputera bukan sekadar menjadi pekerja, tetapi juga mampu memiliki entiti perniagaan sendiri.
Selain itu, beliau turut menegaskan kepentingan meningkatkan daya saing institusi TVET MARA, termasuk GiatMARA, agar menjadi penyedia latihan kemahiran bertaraf tinggi dengan kompetensi dari tahap 1 hingga tahap 5.
Dalam aspek pelaburan, Zulfikri berkata, subsidiari MARA perlu memperkukuh tadbir urus korporat serta meneroka pasaran baharu bagi memastikan kelangsungan dan daya saing yang lebih kukuh.
Sehubungan itu, beliau menyeru warga kerja MARA agar terus menghayati nilai integriti dan kesungguhan dalam bekerja bagi merealisasikan matlamat pemerkasaan Bumiputera melalui strategi 3P.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami