Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti usahawan melalui latihan berstruktur dan sokongan bersepadu.
Pengarah Pejabat MARA Melaka, Shah Zulmizan Safar berkata, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Bersepadu atau MERIT (Entrepreneur Integrated Training), yang dirangka khusus untuk memenuhi keperluan semasa usahawan.
Advertisement
Menurut beliau, program ini menyediakan platform kukuh bermula daripada latihan asas hingga kepada pembangunan kemahiran khusus mengikut industri. Ia merangkumi pelbagai modul yang disusun secara sistematik bagi membantu usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan, termasuk dari aspek pengurusan, pemasaran dan pengembangan pasaran.
“Platform yang kuat bermula daripada latihan. Melalui MERIT, MARA menyediakan takwim latihan yang dirangka mengikut keperluan semasa bagi memastikan usahawan bukan sahaja mampu bertahan, malah berkembang dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif,” jelasnya.
Dalam masa sama, pemain industri turut menekankan kepentingan ketahanan dan kesungguhan dalam membina perniagaan yang mampan.
Sementara itu, pengasas dan Pengerusi Bismi Empire Sdn Bhd, Jaffri Ahmad berkata, fenomena perniagaan ‘viral’ tidak menjamin kelangsungan jangka panjang sekiranya tidak disokong dengan asas yang kukuh.
Beliau menegaskan, kejayaan dalam perniagaan memerlukan ketekunan, disiplin dan strategi yang jelas, bukan sekadar bergantung kepada populariti sementara.
“Ramai melihat perniagaan viral sebagai jalan cepat, tetapi hakikatnya ia boleh hilang sekelip mata. Yang penting adalah keteguhan dan kesungguhan dalam membina asas perniagaan,” katanya.
Tambah beliau, peluang dalam sektor keusahawanan tempatan masih luas, khususnya bagi produk keluaran bumiputera dan berteraskan nilai Islam yang semakin mendapat permintaan dalam pasaran.
“Permintaan itu ada. Pengguna mencari produk tempatan yang diyakini. Jadi, usahawan perlu berani merebut peluang ini walaupun berdepan cabaran,” ujarnya lagi.
Gabungan sokongan institusi seperti MARA dan semangat daya tahan usahawan dilihat mampu menjadi pemacu utama dalam memperkukuh rantaian ekonomi tempatan serta melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing di peringkat nasional.