JELEBU: Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) akan membekalkan benih buah-buahan dan sayuran-sayuran terpilih secara percuma kepada petani di seluruh negara, dengan kawasan pertanian disasarkan sebanyak 200 hektar (494 ekar) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, ia bakal diberikan kepada petani yang mempunyai tanah yang sah sama ada pemilikan sendiri, pajakan atau sewaan, membabitkan tanaman termasuk durian, belimbing dan keledek.

Menurutnya, petani terbabit akan diberi bimbingan dari awal peringkat penanaman sehingga projek itu berhasil dengan pemantauan rapi MARDI, dalam tempoh empat tahun.

"Bagaimanapun projek ini hanya akan diberikan kepada petani yang benar-benar berminat dengan prosedur standard operasi (SOP), ditetapkan MARDI.

"Petani terlibat hanya diberikan salah satu tanaman atau sayur-sayuran yang dipilih untuk diusahakan dan pada masa ini kita sudah mula kenal pasti petani yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas program sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin dan penyerahan benih pokok buah-buahan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan 1,000 hektar kawasan tanaman diusahakan petani dengan menggunakan benih klon yang dibekalkan MARDI, menjelang tahun 2025.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai jenis tanaman buah-buahan termasuk limau bali akan ditanam di tanah seluas 250 hektar milik MARDI di Simpang Durian, bagi merancakkan industri pengeluaran buah tempatan negara selain mahu menjadikan tanaman limau bali menjadi 'simbol' bagi Jelebu.

Terdahulu, Ahmad menyampaikan sumbangan bakul makanan MAFI Prihatin kepada 350 penerima sekitar Jelebu yang terjejas susulan penularan pandemik COVID-19, selain menyumbangkan 100 anak benih buah-buahan kepada mereka.

-- BERNAMA