BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Batu Pahat telah melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medevac) ke atas seorang anak kapal yang mengalami serangan jantung di perairan Tanjung Tohor, Muar, malam tadi.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata pihaknya menerima aduan daripada ejen syarikat perkapalan pada 8.25 malam mengenai seorang kru kapal Vangelis mengalami serangan jantung.

Beliau berkata Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat (PUSOP) kemudiannya menyalurkan maklumat kepada Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru bagi mengkoordinasikan kedudukan kapal yang sedang belayar menuju ke pelabuhan di Singapura.

"Aset iaitu Bot Kilat 13 telah diatur gerak ke lokasi kapal Vangelis yang berada di kedudukan lebih kurang 17 batu nautika barat daya Tanjung Tohor.

"Setibanya di lokasi, mangsa, Rogelio P. Abucejo, 53, yang merupakan warga Filipina, berada dalam keadaan kesakitan. Dia dibawa ke hospital dengan segera dan bantuan awal kecemasan diberikan menggunakan tangki oksigen mudah alih," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd Haniff, keadaan cuaca laut bergelora dan angin kencang menyukarkan proses pemindahan mangsa, namun mangsa berjaya dipindahkan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat pada 11.40 malam.

"Mangsa terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Tambah beliau, selain tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang di laut, APMM juga turut membantu masyarakat atau komuniti maritim membuat penerbangan atau pelayaran ihsan bagi kes-kes kecemasan di laut.

Operasi Medevac itu merupakan kes pertama melibatkan perairan di Zon Maritim Batu Pahat, tahun ini.

-- BERNAMA