Markas Tentera Darat (TD) kini sedang berusaha menguruskan waris terdekat Allahyarham Kapten Hasman Hussin yang disahkan meninggal dunia selepas dihanyutkan banjir, ke Amerika Syarikat (AS) bagi proses pengecaman dan pengesahan jenazah.

Memetik kenyataan media yang dikeluarkan Markas TD Wisma Pertahanan hari ini, urusan membawa pulang jenazah sedang diusahakan secepat mungkin dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di AS dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Hasman yang dilaporkan hilang 26 Disember lalu, selepas kenderaan yang dinaikinya dihanyutkan arus deras di Pulaskit County, Missouri, AS, ditemui meninggal dunia jam 11 pagi waktu tempatan pada 28 Disember.

Menurut kenyataan itu lagi, seorang pegawai PR Kolej, Charlie Rodges memaklumkan yang jenazah telah dibawa ke rumah mayat Hospital Fort Leonard Wood.

Berita penemuan mayat Allahyarham dimaklumkan kepada keluarganya di Masjid Tanah oleh Panglima Markas Tiga Divisyen, Kem Terendak Melaka, Mejar Jeneral Datuk Samrose Mohd Zain, jam 8.30 pagi tadi.

Allahyarham Hasman berada di Amerika Syarikat bagi mengikuti Kursus Kerjaya Kapten Jurutera bermula 1 Oktober dan dijadualkan berakhir 15 April 2016.

Semalam Markas TD Wisma Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, Hasman dikhuatiri hilang selepas kereta dinaiki bersama empat yang lain dihanyutkan banjir ketika mengharungi laluan di Pulaski County.

Sehingga semalam, empat mayat rakannya telah disahkan ditemui.

BACA: Keluarga harap anggota tentera hilang di Amerika Syarikat ditemui