Malaysia Airlines (MAS) hari ini melahirkan rasa kecewanya terhadap laporan sebuah portal berita konon pesawatnya terpaksa mendarat cemas di Iceland selepas terbang melintasi gunung berapi Bardarbunga.

MAS berkata ia kecewa dengan laporan yang tidak bertanggung jawab dan kurang profesional oleh portal worldnewsdaily.com, melalui artikelnya yang bertajuk “Malaysia Airlines Flight Forced Into Emergency Landing After Flying Over Icelandic”.

“MAS berharap orang ramai tidak tertipu dengan pembohongan seperti ini.

“MAS terpanggil untuk mendedahkan pembohongan yang jelas itu untuk perhatian orang ramai.

“Adalah diketahui ramai bahawa MAS menggunakan pesawat A380 untuk membuat perjalanan ke sektor Kuala Lumpur/Paris/Kuala Lumpur.

“Penerbangan itu tidak meneruskan perjalanan ke New York atau destinasi lain di Amerika Syarikat,” katanya.

MAS berkata memandangkan tragedi-tragedi yang telah berlaku kepada syarikat itu baru-baru ini, ia percaya bahawa cerita-cerita tersebut hanya bertujuan untuk menjana sangkaan dan salah faham, serta ingin menakut-nakutkan orang ramai.

“Apa pun motif di sebalik cerita itu, ia tidak mencerminkan etos kewartawanan yang beretika.

“MAS mengutuk bukan sahaja laporan itu, tetapi kewujudan ‘portal berita’ yang tidak bertanggung jawab seperti worldnewsdaily.com ini dan menggesa pihak berkuasa untuk menyekat laman web terbabit serta tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menerbitkan artikel itu,” kata kenyataan itu lagi.