NATIONAL
MASA gesa KPM tingkatkan usaha perkukuh profesionalisme keguruan

MASA menggesa KPM memperhebat usaha memperkukuh profesionalisme keguruan menerusi inovasi pedagogi, penyediaan infrastruktur digital yang kondusif serta insentif latihan berterusan yang berfokus kepada keperluan pendidikan abad ke-21.
INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik atas jasa, dedikasi dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai dalam mencorak masa depan generasi negara.
Sempena sambutan Hari Guru 2025 yang bertemakan “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, MASA menegaskan bahawa guru bukan sekadar penyampai ilmu, bahkan merupakan arkitek utama dalam merangka dasar, membentuk pendekatan pedagogi dan membina budaya pembelajaran progresif yang berteraskan nilai dan realiti semasa.
Dalam menghadapi era digital, kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta cabaran globalisasi yang semakin pesat, peranan guru menjadi semakin penting. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut memupuk kemahiran insaniah, pemikiran kritis dan jati diri nasional dalam kalangan pelajar bagi melahirkan warganegara yang berdaya tahan, beretika dan kompetitif.
Meskipun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) telah menggariskan pelbagai inisiatif penting seperti Standard Guru Malaysia (SGM) dan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), isu berkaitan kesediaan dan pemerkasaan guru masih belum ditangani secara menyeluruh dan berkesan.Keutamaan dasar yang lebih cenderung kepada pencapaian akademik dan kesejahteraan murid tanpa pelaburan mampan dalam pembangunan profesional guru, membentuk satu jurang ketara yang berisiko menggagalkan aspirasi reformasi pendidikan negara.
Dalam konteks ini, kualiti pengajaran, keupayaan guru menangani keperluan pelajar yang pelbagai serta kesediaan mereka mengintegrasikan teknologi moden dalam amalan pedagogi perlu dijadikan tonggak utama kejayaan sistem pendidikan negara.
Malaysia kini berada di ambang transisi penting ke arah mewujudkan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan mampan. Oleh itu, isu pembangunan profesionalisme keguruan wajar dijadikan agenda teras dalam wacana dasar serta pelaksanaan reformasi pendidikan.
Penekanan tidak lagi seharusnya tertumpu kepada bilangan guru atau aspek fizikal semata-mata, tetapi perlu digerakkan ke arah peningkatan mutu pengajaran yang menyeluruh dan mampu memacu kecemerlangan pelajar secara holistik.
Sehubungan itu, MASA menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar memperhebat usaha memperkukuh profesionalisme keguruan menerusi inovasi pedagogi, penyediaan infrastruktur digital yang kondusif serta insentif latihan berterusan yang berfokus kepada keperluan pendidikan abad ke-21.
Usaha ini amat penting, khususnya bagi menyokong guru di kawasan luar bandar dan pedalaman, yang masih bergelut dengan jurang akses teknologi serta kemiskinan digital.
Selamat Menyambut Hari Guru kepada semua warga pendidik yang merupakan tunjang perubahan dan cahaya harapan bangsa. Sesungguhnya, jasa guru adalah satu amanah besar yang mendasari kejayaan sesebuah negara.
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami