SERDANG: Masalah kewangan dipercayai punca seorang kerani dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa yang merupakan lelaki warga asing itu didakwa mengambil sejumlah wang dari tempatnya bekerja.

"Mangsa berumur 41 tahun dan beralamat di Seri Kembangan itu dipercayai mengambil sejumlah wang di sebuah syarikat barangan lusuh dan terpakai.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai majikan mangsa itu kemudiannya membawa mangsa dan disimpan selama beberapa hari sebelum mangsa dibunuh," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, setakat ini, seramai 13 individu termasuk tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka ditahan di sekitar kawasan Lembah Klang, bagaimanapun tiga wanita dibebaskan setelah selesai diambil keterangan.

"Sementara 10 suspek lelaki berumur 20 hingga 58 tahun yang merupakan majikan dan rakan mangsa direman tujuh hari bagi siasatan lanjut," katanya.

Tambah beliau, setakat ini punca kematian mangsa masih dalam siasatan dan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat, satu mayat ditemui dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang dekat sini.

Polis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang individu pada jam 1.30 tengah hari memaklumkan menemui seorang lelaki terbaring dan disyaki telah meninggal dunia. - Sinar Harian