Polis tidak menolak kemungkinan kebakaran melibatkan beberapa kenderaan di tempat letak kereta di Taman Jaya di sini pada Isnin berpunca daripada masalah rumah tangga.

Menurut polis, siasatan awal mendapati seorang lelaki bermotosikal telah menghampiri sebuah kereta yang diletakkan di kawasan itu sebelum bertindak membaling botol berisi petrol yang dinyalakan api ke arah tempat duduk belakang kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata seorang lelaki dan wanita, kedua-duanya berusia 20-an, yang berada dalam kereta bagaimanapun sempat menyelamatkan diri sebelum api marak membakar kenderaan itu.

"Siasatan awal mendapati wanita berkenaan mengenali suspek dan mereka dipercayai mempunyai masalah rumahtangga dan dalam proses perceraian," katanya kepada pemberita mengenai kebakaran kira-kira 1 tengah hari itu.

BACA: Media sosial kecam penyebar berita palsu letupan bom di LRT Taman Jaya

Selain Proton Wira berkenaan, lima kereta lain yang diletakkan berhampiran turut terbakar dengan gambar-gambar yang menunjukkan kebakaran dan asap tebal kejadian itu menjadi viral di laman sosial .

Mohd Zani menegaskan dakwaan terdapat letupan bom di lokasi kejadian seperti yang tersebar di laman sosial adalah tidak benar dan meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita sumpama itu.

"Saya ingin memberi peringatan bahawa menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya menyebarkan berita tidak benar," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan tiada sebarang letupan bom berlaku dalam insiden itu.

"Seseorang telah menyebabkan kebakaran sebuah kereta di tempat letak kenderaan di Taman Jaya, Petaling Jaya, tiada letupan bom @PDRM masih menyiasat perbuatan khianat dengan menggunakan api ini," katanya dalam catatan di laman Twitter.

Mohd Zani berkata kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan api dan menjelaskan kerugian dianggarkan RM200,000.

Seorang saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Siti, 30-an, berkata kepulan asap mengejutkannya yang sedang makan tengah hari di premis berhampiran sebelum melihat orang ramai mengalihkan kenderaan masing-masing dari lokasi kebakaran.

"Sebelum nampak asap tebal, terdapat bau asap yang sangat kuat namun saya tidak menjangka terdapat kebakaran melibatkan beberapa kereta, dan paling membimbangkan ia berlaku berhampiran pencawang TNB," katanya.

Kebakaran itu menyebabkan kereta jenis Toyota Vios dan Proton Wira terbakar sepenuhnya manakala sebuah Suzuki Swift terbakar 80 peratus dan Proton BLM (70 peratus). Sebuah Proton Gen2 dan kereta jenis Honda pula terbakar 20 peratus.

Kebakaran bermula dari kereta Proton Wira sebelum merebak ke kenderaan lain yang diletakkan berhampiran. Api dipadamkan sepenuhnya pada 1.32 tengah hari.