MALAYSIA
Masjid dan surau di bawah JAKIM, JAWI diarah adakan solat hajat untuk Sabah

Solat hajat akan dilaksana di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya. - Foto X/JAKIM
KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat di Sabah yang kini dilanda musibah banjir serta tanah runtuh.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar turut merakamkan ucapan takziah dan menzahirkan rasa dukacita dengan musibah yang menimpa rakyat di negeri berkenaan.
"Semoga seluruh negeri Sabah segera pulih daripada ujian besar yang sedang melanda.
"Seluruh agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan turun ke lapangan membantu agensi-agensi pusat dan negeri bagi menyantuni mangsa yang terlibat" katanya.Setakat 8 pagi ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan seramai 2,897 mangsa banjir daripada 813 keluarga masih berada di 22 pusat pemindahan sementara dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal.
Sementara itu, 13 orang terkorban akibat insiden tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lepas.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan solat hajat akan dilaksana di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya hari ini selepas solat maghrib.
"JAKIM juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT dengan penuh pengharapan semoga keadaan di negeri Sabah segera pulih seperti sediakala, segala urusan mangsa bencana dipermudahkan dan rakyat Sabah khususnya serta seluruh rakyat Malaysia amnya sentiasa dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami