GEORGE TOWN:Semua masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang diminta untuk mendirikan solat sunat hajat berikutan peningkatan penularan pandemik COVID-19.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata,  solat hajat itu bertujuan memohon pemeliharaan dan perlindungan Allah SWT daripada jangkitan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan  Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang agar memaklumkan kepada pengurusan masjid berhubung perkara itu.

"Di samping itu jabatan ini juga akan memohon Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) agar mengarahkan kariah-kariah di negeri ini supaya membaca Qunut Nazilah di dalam solat berjemaah untuk tujuan yang sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pulau Pinang turut terkesan apabila terdapat Kluster baharu iaitu Kluster Penjara Reman membabitkan Penjara Reman Pulau Pinang.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Kluster Penjara Reman mula dikesan pada seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 85 tahun, yang juga kes kematian ke-141.

Jelas Dr Noor Hisham, lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dalam penjara awal 5 Oktober lepas dan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang serta disahkan positif COVID-19.

Dalam perkembangan lain, mengenai kecaman di media sosial terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Salim berkata, beliau ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak keterlaluan dalam menilai seseorang.

"Kita sepatutnya menyelidik dengan teliti terlebih dahulu apa sebenarnya yang terjadi, bukan hanya berdasarkan kepada khabar angin yang tidak sahih.

"Elaklah menghukum seseorang secara yang tidak adil, bimbang akan terlibat dengan fitnah yang akan mendedahkan diri kita kepada dosa yang besar di sisi Allah," katanya.

Sebelum ini, Dr. Zulkifli memaklumkan beliau disahkan positif COVID-19.

Berikutan itu, muncul paparan seni grafik di laman Facebook oleh seorang pereka grafik yang memaparkan imej lelaki berwarna pink dengan gambaran seakan-akan Dr. Zulkifli yang menghembus nafas menyerupai virus COVID-19.

Imej berkenaan kemudian turut mendapat kecaman netizen lain yang membidas pereka grafik berkenaan sebagai tidak sensitif dan cuba mencetuskan provokasi.