Masyarakat di sepuluh daerah dalam Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) memberi kerjasama yang baik ke arah merealisasikan matlamat penubuhan kawasan tersebut.

Pengarah Bahagian Komunikasi Startegik ESSCOM Mohamad Yusri Hasyim berkata ia berdasarkan maklum balas diterima pihaknya melalui penganjuran program di sesebuah kampung.

Katanya maklum balas daripada penduduk kampung, amat penting bagi menjayakan sebarang tindakan dan program yang dilaksanakan ESSCOM mencapai matlamatnya.

"Program bersama masyarakat itu juga menjadi landasan penting untuk memberi penerangan berhubung penubuhan dan langkah yang akan diambil oleh ESSCOM.

"Penduduk kampung menyedari penubuhan ESSCOM penting bagi mengukuhkan tahap keselamatan di kawasan mereka daripada aktiviti anasir jahat dan jenayah," katanya pada majlis Hari Raya ESSCOM bersama penduduk Kampung Bahagia dekat sini, hari ini.

Penubuhan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, Felda Sahabat Lahad Datu.

Ia bagi menguatkan lagi kawalan keselamatan maritim di timur negeri ini dan menghalang sebarang kegiatan pengganas berlaku di perairan Sabah.

ESSCOM diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, merangkumi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah dari Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Mohamad Yusri berkata kerjasama masyarakat itu juga ditunjukkan melalui kepekaan penduduk kampung khususnya golongan nelayan dalam memberi maklumat dan laporan jika berlaku kegiatan jenayah di kawasan mereka.

Katanya bagi ESSCOM segala maklumat dan laporan yang dibuat penduduk kampung kepada pasukan keselamatan diperlukan dalam mewujudkan satu persekitaran keselamatan yang stabil.

Beliau berkata pada masa akan datang, golongan belia turut menjadi sasaran program dianjurkan ESSCOM bertujuan mewujudkan semangat patriotisme terhadap negara.