Mavcom, CAAM dijangka digabungkan

Penerbangan awam Malaysia mungkin dikawal oleh hanya satu badan pada masa akan datang selepas penyatuan pengawal selia sedia ada.

The Edge mendakwa perkembangan baharu itu adalah susulan kelulusan kabinet bagi memperkasa CAAM. - Gambar fail | Astro Awani
Penerbangan awam Malaysia mungkin dikawal oleh hanya satu badan pada masa akan datang selepas penyatuan pengawal selia sedia ada - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Memetik pelbagai sumber, The Edge mendakwa perkembangan baharu itu adalah susulan kelulusan Kabinet bagi memperkasa CAAM.

"Langkah itu bertujuan untuk memperkasa CAAM dengan entiti itu kelak mengawal aspek ekonomi dan teknikal dalam industri penerbangan awam," menurut berita tersebut.

CAAM bertanggungjawab mengawal aspek teknikal, penyelenggaraan dan keselamatan manakala MAVCOM, yang ditubuhkan pada 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, merupakan entiti bebas yang mengawal selia urusan ekonomi dan komersil di Malaysia.

Untuk menutup Mavcom, undang-undang perlu dipinda dengan pindaan itu memerlukan kelulusan Parlimen.

-- BERNAMA