IPOH: Mayat seorang lelaki dipercayai anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, ditemui hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat ditemui kira-kira jam 10.15 pagi ini.

Menurutnya, mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat.

“PDRM Perak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada Isnin, Mohd Yusri dilapor berkata, seorang anggota tentera dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi di kawasan berkenaan.

Katanya, anggota tentera berusia 33 tahun adalah dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan kehilangan anggota berpangkat koperal itu pada jam 12.50 tengah malam, Ahad.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian kehilangan berlaku Jumaat lalu pada jam 5 petang semasa mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican berkata, mangsa adalah koperal Mohamamad Nasri Mohd Nasib, yang merupakan anak kepada Ketua Wanita Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar.

"Takziah diucapkan kepada Puan Fadzilah Bakar, Ketua Wanita Cawangan Pengkalan Sena dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta.

"Urusan membawa pulang jenazah sedang diuruskan oleh pihak tentera. Jenezah akan disolat dan dikebumi di Pulau Mertajam," katanya di laman Facebook hari ini.