SEREMBAN: Mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap di dalam longkang di tepi Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak, Nilai, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata siasatan awal mendapati mayat itu adalah lelaki berumur 27 tahun ditemui orang awam bersama sebuah motosikal jenis Yamaha SRE-K.

"Balai polis Nilai menerima laporan kira-kira 2.13 petang daripada orang awam, semakan lanjut mendapati terdapat dua laporan polis diterima pada Ahad berkaitan orang hilang oleh isteri si mati dan satu lagi laporan oleh pemilik motosikal yang merupakan majikan kepada simati," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya Siasatan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati tiada sebarang penemuan berkaitan unsur-unsur jenayah setakat ini.

Beliau berkata mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sebarang maklumat orang awam boleh hubungi IPD Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Nilai, Inspektor Zarina Ariffin, 013-8238336.

-- BERNAMA