Skip to main content
Advertisement

Sukan

Sukan Asia: Trio berbasikal trek wanita raih perak acara pecut

Trio pecut berpasukan wanita negara menyumbangkan pingat perak buat kontinjen negara selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan catatan masa 48.566s (saat)._Stadium Astro
Trio wanita negara mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 48.566 saat (s). - Stadium Astro
Advertisement

SHIZUOKA: Skuad berbasikal trek negara menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen Malaysia dalam acara pecut berpasukan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di sini hari ini. 

Pada perlumbaan akhir yang berlangsung di Velodrom Izu itu, trio wanita yang dibarisi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 48.566 saat (s).

Trio China yang dibarisi Luo Xuehuang, Yuan Liying dan Jiang Yulu menewaskan Malaysia untuk menyambar emas dengan rekod Asia baharu 45.370s, sekali gus memadam rekod terdahulu, iaitu 45.487s milik China yang dilakukan pada 2024.

Skuad Taiwan yang diwakili Wang Sin-Ting, Chen Ching-Yun dan Liu Shang-Ying pula meraih gangsa selepas mencatat masa 49.061s, mengatasi trio Jepun Aki Sakai, Mina Sato dan Minami Yamada yang merekodkan 49.137s dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa.

Nurul Izzah, Anis dan Alyssa yang sebelum ini beraksi tanpa lawan pada pusingan pertama mencatat masa 48.023s untuk memecahkan rekod kebangsaan, iaitu 48.086s yang dilakukan pada Kejohanan Asia (ACC) Tagaytay 2025. 

Malaysia sebelum ini meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan wanita pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Sementara itu, aksi berpasukan lelaki menyaksikan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohd Akmal Nazimi Jusena terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat apabila tewas kepada pencabar Hong Kong pada penentuan pingat gangsa sebentar tadi. 

Trio negara itu mencatat masa 44.341s, di belakang trio Hong Kong yang dibarisi Mok Tsz Chun, Tu Cheuk Hei dan Yung Tsun Ho yang mencatat masa 43.507s untuk merangkul pingat gangsa. 

Pingat emas menjadi milik trio China yang mencatat masa 42.152s untuk meninggalkan skuad Jepun yang merekodkan masa 42.511s. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement