KUALA LUMPUR: Penghantaran pulang 1,476 tahanan warga Myanmar menerusi Ops Pier 1.0 dilaksanakan secara sukarela, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
KDN memaklumkan setiap individu terlibat perlu melalui proses pengenalpastian, verifikasi kewarganegaraan dan dokumentasi sebelum penghantaran dilaksanakan.
“Setiap individu yang terlibat perlu melalui proses pengenalpastian, verifikasi kewarganegaraan dan dokumentasi sebelum penghantaran dilaksanakan,” menurut KDN dalam Soalan Lazim (FAQ) media yang disiarkan hari ini.
Selain itu, mereka turut menjalani pemeriksaan kesihatan dan semakan identiti sebelum dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk dihantar pulang.
KDN berkata aspek keselamatan, status individu serta keperluan kebajikan berkaitan turut diambil kira dalam pelaksanaan operasi berkenaan.
Ops Pier 1.0 pada Selasa melibatkan penghantaran pulang 1,476 tahanan warga Myanmar melalui laluan laut dari Pangkalan TLDM Lumut.
Operasi itu menggunakan dua kapal Tentera Laut Myanmar, UMS Moattama dan UMS King Sin Phyu Shin, serta sebuah kapal hospital, UMS Thanlwin, bagi membawa kumpulan berkenaan pulang ke negara asal.
Ia merupakan fasa pertama daripada program penghantaran pulang sehingga 5,000 tahanan warga Myanmar secara berperingkat hasil rundingan dua hala antara Malaysia dan Myanmar.
Senarai 1,476 individu terbabit dikenal pasti Kerajaan Myanmar sebelum dikemukakan kepada Malaysia menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.
Susulan pelaksanaan operasi itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Alkhair Malaysia membangkitkan beberapa persoalan berhubung proses penghantaran pulang serta keselamatan individu terbabit.
Antaranya bagaimana persetujuan untuk pulang diperoleh dan direkodkan, selain mekanisme sekiranya seseorang mahu menarik balik persetujuan sebelum dihantar.
Pertubuhan itu turut membangkitkan persoalan mengenai penilaian risiko keselamatan, lokasi mereka selepas tiba di Myanmar serta pihak yang akan memantau keselamatan dan kebajikan mereka.
Astro AWANI sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada KDN berhubung persoalan berkenaan.
Pada masa sama maklum balas turut cuba diperoleh daripada Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur mengenai penerimaan serta keselamatan dan kebajikan individu terbabit selepas tiba di negara itu.