KAJANG: [DIKEMAS KINI] Kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras di sini sejak tiga hari lalu terungkai apabila mayatnya ditemukan hari ini.
Mangsa, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan secara intensif oleh pelbagai agensi sejak hari kejadian.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Selangor Wan Syariman Wan Salleh berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 12.17 tengah hari di Sungai Langat.
Menurutnya, lokasi penemuan adalah kira-kira 10.6 kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.
"Mayat mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) yang menjalankan pencarian menggunakan bot di sepanjang sungai.
"Ibu bapa mangsa turut hadir dan membuat pengecaman pada jam 1.12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, Wan Syariman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 1 Mei lalu kira-kira jam 7.08 malam di Kondominium Sri Hijau.
Katanya, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam longkang berukuran kira-kira 3x3 meter ketika cuba mengambil bola.
"Ketika kejadian, arus longkang dilaporkan deras dan mangsa dipercayai dihanyutkan arus.
"Jentera dari BBP Kajang tiba di lokasi kira-kira jam 7.22 malam selepas menerima panggilan kecemasan," katanya.
Menurutnya, operasi SAR digerakkan dengan penglibatan lebih 50 anggota bomba termasuk pegawai kanan serta dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta unit PPDA Selangor.
"Pada hari kedua operasi, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan di sekitar lokasi kejadian hingga ke Sungai Langat.
"Seorang anggota Unit K9 turut mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat tertusuk besi ketika operasi dijalankan," katanya.
Menurutnya, operasi pada hari kedua ditangguhkan pada jam 7.30 malam sebelum disambung semula keesokan hari.
"Operasi kemudian diteruskan secara agresif termasuk pada waktu malam dengan penugasan tambahan anggota PPDA.
"Pencarian diperluaskan hingga ke laluan Sungai Langat memandangkan mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras," katanya.
Tambahnya, pada hari ketiga, mangsa akhirnya ditemukan, sekali gus menamatkan operasi SAR.
"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Kes diklasifikasi SDR
Polis mengklasifikasikan siasatan di bawah kematian mengejut (SDR) susulan kes penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai dihanyutkan arus di Bandar Mahkota Cheras.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 7.05 malam, 1 Mei lalu.
"Panggilan tersebut memaklumkan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dihanyutkan arus ketika cuba mengambil bola di longkang Kondominium Seri Hijau.
"Susulan itu, operasi SAR segera digerakkan melibatkan pelbagai agensi keselamatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa akhirnya ditemukan pada jam 12.17 tengah hari di tepi Sungai Langat, Batu 12, berhampiran Jalan Reko, kira-kira 10.6 kilometer dari lokasi kejadian.
"Mangsa disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah lemas," katanya.
Menurutnya, jenazah mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi SAR yang melibatkan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk unit K9, APM, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Kesihatan Daerah, Indah Water Konsortium Sdn Bhd serta beberapa NGO telah ditamatkan susulan penemuan mangsa.
"Polis Daerah Kajang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu operasi SAR ini.
"Kami juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang menimpa," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kehilangan Nur Qaseh yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras terungkai apabila mayatnya ditemukan hari ini.
Mangsa yang berumur sembilan tahun itu ditemui selepas operasi SAR dijalankan secara intensif oleh pelbagai agensi sejak hari kejadian. - Sinar Harian