Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Mayat pemancing terakhir dijumpai di perairan Perak

Sumber: SINAR HARIAN
Anggota Maritim Malaysia mengangkat mayat mangsa. - Foto Sinar Harian
Advertisement

SHAH ALAM: Pemancing terakhir yang dilaporkan hilang di One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam, sejak 14 Sept lepas, ditemukan lemas di perairan Kuala Kurau, Perak, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mayat mangsa Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49, dijumpai terapung oleh nelayan tempatan kira-kira 4.5 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau pada  5.25 petang.

Beliau berkata nelayan itu menghubungi Zon Maritim Kuala Kurau selepas menemukan mangsa yang memakai baju biru dan seluar celoreng.

“Bot Maritim Benteng 03 kemudian digerakkan ke lokasi dan mayat dibawa ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau pada 7.30 malam.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping bagi proses pengecaman rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata identiti Raja Mohd Rozi disahkan isteri mangsa berdasarkan pakaian terakhir yang dipakai ketika kejadian.

“Penemuan mangsa terakhir ini melengkapkan usaha pencarian terhadap semua tujuh mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

“APMM menghargai semua pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi dan komuniti nelayan tempatan atas bantuan dan maklumat disalurkan sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya.

Pada 19 Sept lepas, operasi SAR selama enam hari ditamatkan sepenuhnya selepas tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu berjaya dikesan.

Sektor pencarian operasi selama enam hari meliputi laut dan udara itu meliputi radius 3,887 batu nautika persegi di kawasan perairan Selangor dan Perak termasuk Hutan Melintang serta Bagan Datuk.

Pada 14 Sept lepas, APMM Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan rasmi berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada 3.35 pagi.

Empat mangsa dalam keadaan selamat manakala dua meninggal dunia iaitu Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, yang ditemukan di perairan Hutan Melintang. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement