GUA MUSANG: Satu mayat lelaki yang belum dipastikan identitinya ditemukan di dalam anak sungai sekitar sebuah kebun getah, di Kampung Pulai di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang telah menerima panggilan telefon daripada orang awam, berhubung penemuan mayat berkenaan pada 2 petang, Khamis lepas.
Advertisement
Beliau berkata siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati, mangsa merupakan seorang lelaki, yang kewarganegaraannya masih belum pasti, dianggarkan berusia dalam lingkungan 40-an.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tenggelam di dalam air serta tersangkut pada batu dan kayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sik berkata mayat lelaki itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut dan motif pembunuhan masih dalam siasatan pihak polis.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau mereka juga boleh menghubungi Balai Polis Gua Musang secara terus melalui talian 09-9121222.
-- BERNAMA