IPOH: Polis mengesahkan menerima maklumat mengenai penemuan tiga beranak yang tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Bandar Baru Tambun, dekat sini, kira-kira jam 9.10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati ketiga-tiga mangsa telah meninggal dunia di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.
Mangsa terdiri daripada seorang wanita tempatan berumur 46 tahun serta dua anak perempuannya, masing-masing berumur 12 dan 11 tahun.
“Pemeriksaan awal oleh pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pakar forensik tidak menemui sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, kata Muhammad Najib, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian manakala bedah siasat dijadualkan hari ini bagi melengkapkan siasatan.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga siasatan selesai.