SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan beliau telah dipaksa menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang tular di media sosial sejak malam semalam.
Menurut beliau, dokumen berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan laporan polis berhubung perkara berkenaan juga telah dibuat.
“Saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).
“Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail menegaskan bahawa kerajaan negeri berpendirian dokumen tersebut langsung tidak memenuhi proses serta tatacara yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan Negeri.
“Surat Cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” jelas beliau.
Beliau berkata, bagi menangani isu perbalahan adat yang berbangkit, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang pada Selasa turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pendamai.
Katanya, langkah ini diambil sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah, serta berlandaskan semangat muafakat.
Pada masa sama, Ismail turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jaminan Persekutuan terhadap hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.
Tindakan itu bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” tegasnya.
Sebelum ini, krisis istana Negeri Sembilan menjadi lebih meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen yang didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Datuk Maarof Mat Rashad dalam satu sidang media bersama Abdul Rahim Yasin serta Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah menunjukkan dokumen yang didakwa ditandatangani Ismail dalam surat cara proklamasi berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Tandatangan Menteri Besar itu tertera pada surat cara proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu yang antara lain menyentuh keputusan Undang Yang Empat berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 19 April lalu.