Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu Barisan Nasional tiba di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pagi ini, bersama Menteri Besar Terengganu baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini ekoran krisis politik yang melanda negeri itu sejak Isnin.

Pagi tadi Ahmad Razif dilihat memasuki perkarangan bangunan itu pada pukul 11.30 pagi dengan menaiki kereta Mercedez Benz hitam bernombor TAR76.

Beberapa kereta mewah yang dipercayai kepunyaan ADUN Terengganu lain, turut dilihat memasuki perkarangan bangunan itu.

Pemimpin Terengganu itu, ketika ini dipercayai mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi UMNO untuk mencari penyelesaian kepada krisis di negeri itu yang bermula Isnin lalu apabila mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatannya.

Ahmad yang meletakkan jawatannya pada Isnin, turut melepaskan keahliannya dalam UMNO dan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas Kijal.

Turut mengikuti jejak beliau adalah ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud, yang kemudiannya kembali menjadi ahli UMNO.

Ahmad mendakwa bahawa beliau seharusnya diberikan lebih masa untuk menjawat jawatan Menteri Besar meskipun beliau dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Najib bahawa jawatan itu hanya akan dipegang untuk tempoh setahun sahaja.

Situasi itu pada awalnya menyebabkan Barisan Nasional menjadi kerajaan minoriti di negeri itu kerana Barisan Nasional hanya memegang 14 kerusi berbanding dengan Pakatan Rakyat yang memegang 15 kerusi.

Keadaan itu berubah apabila Roslee menarik balik keputusan untuk keluar UMNO.

BERITA LANJUT MENYUSUL