MBDK rangka pelan pencegahan banjir terkini dengan tiga strategi utama

Abdul Hamid ketika berucap dalam sesi libat urus di Bangunan MBDK, hari ini. - Gambar Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang
KLANG: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merangka pelan pencegahan banjir terkini dengan menekankan tiga strategi utama bagi menangani risiko banjir di seluruh kawasan pentadbirannya.
Ringkasan AI
- Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merangka pelan pencegahan banjir dengan tiga strategi utama termasuk pembangunan mampan, pengurusan sampah bersepadu, dan penguatkuasaan peraturan untuk mengurangkan risiko banjir jangka pendek, sederhana, dan panjang.
- Pelan pencegahan banjir ini menjadi dokumen rujukan utama bagi merancang dan melaksanakan projek pencegahan banjir di seluruh kawasan MBDK secara komprehensif dan berkesan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Rancangan Malaysia Ke-12.
- Klang mengambil kira kawasan titik panas dan berisiko banjir serta melibatkan agensi teknikal dalam merangka pelan pencegahan banjir bersepadu untuk mengatasi cabaran banjir yang kerap berlaku di kawasan seperti Meru, Bukit Kapar, dan Bandar Bukit Raja.
"Pelan pencegahan banjir ini akan dijadikan dokumen rujukan utama untuk merancang dan melaksanakan projek pencegahan banjir di seluruh kawasan MBDK secara komprehensif dan berkesan," katanya ketika berucap dalam sesi libat urus di Bangunan MBDK, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata ketiga-tiga strategi itu akan dilaksanakan menerusi projek penaiktarafan perparitan, pembinaan kolam tadahan, pemasangan pam banjir serta program pembersihan persisir sungai melalui Program Cintai Sungai Klang selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Struktur Negeri (RSN) Selangor 2035.
Dalam masa sama, pihaknya turut mengambil kira kawasan titik panas (hotspot) dan berisiko banjir serta input daripada agensi teknikal dalaman dan luaran seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pelan yang dirangka dengan penglibatan ramai pakar memberikan kesan terbaik.
"Semua sedia maklum kawasan pentadbiran MBDK tidak terlepas daripada cabaran pemanasan global, menyebabkan kejadian banjir kerap berlaku akibat pembangunan pesat, peningkatan kawasan berturap, taburan hujan tinggi serta kelemahan penyelenggaraan saliran.
"Kawasan yang kerap berlaku banjir termasuk Meru, Bukit Kapar, Bandar Bukit Raja dan Bandar Putera. Jadi, pelan pencegahan banjir bersepadu amat diperlukan demi menjaga keselesaan masyarakat setempat," katanya.
Sehubungan itu, Datuk Abdul Hamid menyeru semua pihak bekerjasama bagi menjadikan Klang sebagai bandar raya mampan, selamat dan berdaya tahan dengan memberikan komitmen sepenuhnya.
Beliau berkata sesi libat urus pada hari ini turut memberi peluang kepada penduduk dan wakil pihak berkepentingan untuk memberi serta mengusulkan cadangan bagi memastikan pelan pencegahan banjir dilaksanakan secara inklusif.
"Saya berharap pelan ini menjadi dokumen rujukan untuk semua pihak dalam merancang dan melaksanakan projek pencegahan banjir secara berkesan bukan hanya membabitkan jangka masa pendek, malah jangka masa panjang," katanya.
Terdahulu, sesi libat urus yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang itu disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis MBDK, wakil agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersempadan dan komuniti setempat bagi memastikan pelan disediakan secara inklusif termasuk berpandukan keperluan penduduk.
Sebelum ini, Klang mencatat lebih 20,000 mangsa terkesan banjir sejak lima tahun lepas khususnya di Meru, Bukit Kapar dan Bandar Bukit Raja, menjadikan pelan bersepadu tiga hala ini amat penting untuk keselamatan dan kelangsungan pembangunan bandar.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


