MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bercadang memperkenalkan penggunaan parkir mekanikal di kawasan Banda Hilir bagi memudahkan pengunjung, khususnya semasa pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan pada setiap Sabtu.

Datuk Bandar Datuk Shadan Othman berkata inisiatif itu sedang diteliti dari pelbagai aspek termasuk lokasi sesuai bagi membangunkan sistem berkenaan yang menggunakan teknologi parkir bergerak bertingkat.

"Walaupun pengunjung mempunyai beberapa alternatif tapak parkir lain seperti di Pusat Transformasi Luar Bandar (UTC) serta Taman Rempah dan mereka boleh menaiki teksi air untuk ke Banda Hilir.. inisiatif memperkenalkan parkir mekanikal ini bertujuan menambah jumlah lot parkir di kawasan Banda Hilir dan memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Promosi Program Santai@Bandar Hilir 'Bus on Demand' di sini malam tadi.

Sementara itu, Shadan berkata berdasarkan sistem pemantauan orang ramai yang dipasang di Menara Jam di bangunan Stadthuys di sini, lebih 12,000 pengunjung direkodkan di Banda Hilir setiap kali pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Katanya jumlah itu membuktikan inisiatif tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

Mengulas lanjut, Shadan berkata pihaknya juga menerima pelbagai maklum balas positif berkaitan pelaksanaan itu daripada pengunjung, termasuk mahu hari Zon Bebas Kenderaan ditambah.

-- BERNAMA