KUALA LUMPUR: Malaysia Building Society Bhd (MBSB) melantik Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad sebagai Pengerusi anak syarikat milik penuhnya, MBSB Bank Bhd, berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata Wan Kamaruzaman telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dari Mei 2013 hingga November 2018.

Beliau memulakan kerjayanya yang cemerlang dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) pada 1981, dan selepas meninggalkan Maybank pada 1994, Wan Kamaruzaman berkhidmat sebagai CEO dan pengarah beberapa syarikat dalam Kumpulan Affin sehingga 2005.

Sebelum ini beliau juga memegang jawatan pengurus besar Jabatan Perbendaharaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dari September 2007 hingga April 2013.

Wan Kamaruzaman juga pernah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa penasihat kepada Financial Times Stock Exchange (FTSE) Russel, London; dan juga merupakan Pengerusi Institutional Investors Council Malaysia dan ahli lembaga pengarah Malakoff Corporation Bhd dan Prima Ekuiti (UK) Ltd.

-- BERNAMA